Ahad, 4 Mac 2012

'LAHAULA WALA QUWATA ILLA BILLAH HIL ALIYIL A’ZIM

Dipetik dari mujizat bekam


'Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia'
Berzikirlah selalu kerana ia adalah salah satu cara untuk kita menghubungkan diri kita dengan Allah SWT. Disamping itu, cara ini jugalah yang akan menjadikan hati manusia lembut. Sedangkan Saidina Umar r.a. memeluk Islam dengan mendengar adiknya sendiri berzikir (membaca surah Taha), padahal sebelum ini, beliaulah seorang yang paling kuat menentang ajaran agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT.

Malahan kuasa tersebut dkurniakan oleh Allah SWT, bukan untuk kita kufur kepadaNya, tetapi untuk kita lebih mendekatkan diri kepadaNya. Selemah-lemah manusia, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, kecuali dengan kehendak Allah SWT semata-mata. Jika Allah SWT tidak mahu ia berlaku, ia mustahil akan berlaku. Tetapi apabila Allah SWT menyebut ‘Kun’, maka ‘Yakun’-lah apa yang dikehendakiNya.

Oleh itu, apa-apa pun perbuatan yang kita lakukan ataupun hendak kita lakukan, mestilah bersandarkan konsep zikir ini. Malahan, ayat ini juga boleh menjadikan motivasi untuk kita mencapai kejayaan. Tetapi mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. InsyaAllah, walaupun kita rasa mustahil akan berlaku, ia akan berlaku.

Jadikanlah zikir ini sebagai nyanyian mulut kita setiap hari, terutamanya dikala waktu kesusahan menimpa diri. Kerana apabila manusia terus-menerus mengingati Allah SWT sewaktu dalam kesusahan, maka mereka tidak akan sekali-kali berputus asa kerana yakin atas apa yang Allah SWT taqdirkan.

"Jangan meninggalkan zikir, kerana engkau belum selalu ingat kepada Allah di waktu berzikir, sebab kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir"

Zikir adalah satu-satunya jalan yang terdekat menuju kepada Allah, bahkan yang sangat mudah & ringan.

Firman Allah : Berzikirlah kamu kepadaKu nescaya Aku berzikir kepadamu. (al-Baqarah 152)

Dalam hadith qudsy, Allah berfirman : "Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu terhadap diriKu dan Aku selalu menyertainya ketika ia berzikir kepadaKu".

"Jika berzikir di dalam hati peribadinya (sendirian), Aku pun berzikir padanya dalam diriKu dan jika berzikir pada Ku di depan umum, Aku pun berzikir padanya di muka umum yang lebih baik dari golongannya, dan bila ia mendekat pada Ku sejengkal, Aku mendekat padanya sehasta, dan bila ia mendekat pada Ku sehasta, Aku mendekat padanya sedepa, dan bila ia datang pada Ku berjalan, Aku datang kepadanya berjalan cepat (berlari)".

Firman Allah : "Hai sekalian orang yang beriman, berzikirlah kamu kepada Allah sebanyak-banyaknya zikir. Dan bertasbihlah (mengagumkan) Allah pada pagi dan petang".

Abdullah bin Abbbas r.a berkata : Tiada suatu kewajipan yang diwajibkan oleh Allah pada hambaNya melainkan batas-batasnya, kemudian bagi orang-orang yang uzur dimaafkan bila tidak dapat melakukannya, kecuali zikir maka tidak ada batas, dan tidak ada uzur yang dapat diterima untuk tidak berzikir, kecuali jika berubah akal (gila).



KELEBIHAN BERZIKIR


* Mendekatkan diri kepada Allah untuk membuka pintu masuk segala kebaikan.
* Dapat menghalau dan mematahkan gangguan syaitan.
* Menyibukkan lidah supaya tiada masa untuk mengumpat atau bercakap yang sia-sia.
* Mendatangkan kelapangan pada hati dan kelapangan dada.
* Mewariskan kecintaan Allah pada dirinya.
* Dapat meneguhkan hati dan menguatkan iman.
* Menghilangkan perasaan runsing yang bersarang di dalam hati.
* Untuk mendapatkan keredaan Allah dan rahmatNya.
* Untuk mendapatkan rezeki yang berkat.
* Akan diingati oleh Allah seperti firmanNya, "Ingatlah kamu kepadaKu maka Aku akan mengingatimu."

Sama-samalah kita menggunakan zikir-zikir dan ayat-ayat al-Quran sebagai motivasi kita dalam kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan