Oleh : Fyrol Ikram Othman

Memahami Perubatan Islam dan Perubatan Nabi
Assalamualaikum kepada pembaca yang dikasihi sekalian, kesihatan adalah satu nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang bersyukur. Biasanya hanya mereka yang sakit memahami apa itu erti sihat. Disebabkan kesihatan itu diberi percuma, maka orang sihat jarang mengambil berat soal kesihatan.
Namun demikian, saat ini kesihatan mula dirapati oleh masyarakat umum. Banyak orang menghabiskan ribuan ringgit bagi menjadi sihat dan mengekalkan kesihatan itu sendiri. Industri kesihatan berkembang pesat. Banyak benda dikaitkan dengan kesihatan. Bisnes ‘atas sakit orang’ ini bernilai trilion dolar amerika. Persoalannya adakah bisnes ini berkembang atas dasar kesedaran orang ramai atau terpengaruh dengan kuasa media?
Firman Allah s.wt – al-Kauthar :8
“ Dikemudian hari kamu akan ditanya tentang nikmat “
Ibnu Abbas memberi tafsiran nikmat tersebut ialah nikmat kesihatan. Manusia akan dipertanggunjawabkan apa yang telah dilakukan ketika sihat.
Antara yang dikaitkan dengan industri ini ialah seperti makanan tambahan (supplementary food), makanan kesihatan (health food), perubatan tradisional dan komplimentari (TCM), peralatan kesihatan (seperti sofa urut, alatan senaman), alatan/bahan kesihatan dan kebersihan (toiletry seperti sabun, disinfektan, syampu, ubat gigi).dan untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik apabila sakit maka ia melibatkan pula insurans kesihatan dan ini secara tidak langsung memberi nafas berterusan kepada hospital swasta yang canggih dan mewah.
Perubatan dan kesihatan kini semakin mahal, mungkin kerana ianya kini bergelar ‘industri’. Sebelum kita pergi lebih jauh, marilah kita memahami maksud kesihatan seperti yang dijelaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). WHO menjelaskan kesihatan ialah Kesempurnaan aktiviti fizikal,mental,sosial dan rohani(spiritual) yang baik.
Ini bermakna sihat bukan bermakna tanpa penyakit. Tapi bagaimana seseorang itu menjalani kehidupannya. Pesakit diabetis, hipertensi, skizophrenia dan lain-lain boleh dikira sebagai sihat sekiranya mereka mampu menjalani kehidupan dari sudut fizikal, mental, sosial dan rohani dengan baik walaupun terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan untuk seumur hidup.
Tafsiran WHO ini juga memberi makna tidak sihat kepada mereka yang secara zahirnya kelihatan sihat tetapi tidak mampu bersosial dengan baik seperti menyendiri, murung dan sebagainya.
Ternyata definisi kesihatan seperti yang digariskan oleh WHO selari dengan ajaran Islam. Namun Nabi muhammad s.a.w telah meletakan tafsiran kesihatan ini dengan lebih tinggi apabila mengaitkan hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia sebagai salah satu elemen kesihatan.Islam menganjurkan umatnya menjaga kesihatan, mencegah itu lebih baik dan apabila sakit kita disuruh mengubatnya.
“Setiap penyakit ada ubat penawarnya dan apabila sesuatu ubat itu sesuai dengan jenis penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah “
Maksud hadis – Riwayat Muslim
Perubatan Islam
Kini perubatan Islam mula mendapat tempat dalam masyarakat, pusat perubatan Islam atau orang perseorangan yang menawarkan khidmat perubatan Islam kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun apa yang dikatakan sebagai perubatan Islam itu pula sekadar berlingkung dalam soal jampi,sihir,jin,syaitan dan iblis serta penyakit buatan orang.

Kaedah perubatan Islam pula hanya dikaitkan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa-doa tertentu atau lebih dikenali sebagai Ru’yah. Ada pula pengamal-pengamal perubatan alopati (perubatan hospital@moden) mengaku sebagai perubatan Islam dengan hanya mengamalkan perubatan ini dengan adab dan tertib Islam.
Dan ada pula pengamal yang mengaku mereka sebagai pengamal perubatan Islam dengan mendakwa mampu merawat semua jenis penyakit dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran.
Hujah mereka mungkin berdasarkan ayat ini.
Dan kami turunkan al-Quran menjadi ubat penawar bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian.
(surah Al-Israa : 82)
Mereka mengkaji ayat-ayat al-quran tertentu dan membacanya untuk merawat apa jua jenis penyakit termasuklah kanser dan penyakit-penyakit yang dianggap merbahaya dan sukar dirawat dalam dunia perubatan moden.

Walau bagaimanapun hakikatnya al-Qur'an adalah panduan untuk kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Ia adalah dalil kewujudan Allah dan membuktikan bahawa Allah adalah Maha Bijaksana dan Maha Pencipta. Ia bukanlah satu buku teks perubatan khusus dan Ia tidak menetapkan ubat yang khusus untuk penyakit yang khusus. Kitab ini ternyata menyuruh manusia supaya berfikir, berusaha dan menambah ilmu untuk kebaikan manusia yang lain, maka dengan itu peranan yang dimainkan oleh al-Quran adalah sangat besar dan suci untuk dibandingkan dengan ilmu perubatan.
Walau bagaimanapun berdasarkan beberapa hadis Nabi s.a.w perubatan dengan Ru’yah ternyata satu pilihan yang tepat. Pengamal dan pesakit perlu mempunyai kenyakinan yang tinggi dan memahami bahawa penyakit itu datang dan pergi dengan izin Allah.
Perubatan menggunakan ayat-ayat al-Quran atau Ru’yah kini ada yang secara khusus merawat penyakit yang pernah dirawat oleh Rasullullah dengan ayat yang dibaca oleh baginda dan ada pula penyakit-penyakit baru berdasarkan kajian mereka terhadap al-Quran itu sendiri. Ternyata al-Quran merupakan mukjizat bukan sahaja untuk Nabi Muhammad s.a.w tetapi juga untuk umatnya.
Tetapi Nabi s.a.w tidak pernah menolak untuk berubat dengan cara lain selain ayat-ayat Ru’yah. Maka sudah tentunya Islam tiak menolak perubatan alopati@hospital yang diamalkan sekarang. Apa yang penting ialah Islam membimbing perubatan tersebut supaya selari dengan Islam dari segi etika dan fiqahnya. Terutamanya sekali dalam kaedah pengubatan, ubat-ubatannya dan etika pengamal dengan pesakit.
“Alhikmatul dhollatul mukminin..hathuma wajadaha fahua ahaq’qubiha“
“ Hikmah itu adalah barang tinggalan milik orang mukmin, siapa sahaja yang menemuinya,maka dialah yang lebih berhak keatasnya”

Maksud hadis diatas ilmu itu barat barang tinggalan ummat Islam yang tercicir, dimana sahaja kamu menjumpainya, maka kamu ambillah, kamu kutiplah dan kamu galilah ia. Berdasarkan hadis ini, ilmu apa jua keadaannya adalah milik orang Islam. Samaada ianya perubatan moden,alopathi,hemopathi, alternatif dan sebagainya, menjadi tanggunjawab pengkaji Islam untuk membawa ilmu tersebut kedalam dunia Islam.
Budaya dan tamadun Islam bukanlah berasaskan bangsa, tetapi bersandarkan kepada al-Quran dan hadis. Nama-nama besar dunia perubatan seperti Ibnu Kaldun, Ibnu Sina, al- Khawarizmi dan sebagainya bukan datang dari dunia arab sahaja, tetapi dari pelbagai bangsa di perbagai tempat.
Disini penulis ingin membawa pembaca yang dikasihi sekalian tentang indahnya perubatan yang dianjurkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Penjagaan kesihatan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad bukan sekadar memakan makanan berkhasiat, aktiviti fizikal seperti senaman, penjagaan kebersihan tetapi juga melibatkan hubungan dengan Maha Pencipta dan juga hubungan sesama manusia.
“Demi sesungguhnya, adalah pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (sama ada di waktu susah mahu pun senang).” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Konsep perubatan yang ingin penulis perkenalkan ialah Perubatan dalam hukum pertimbangan Sunnah. Iaitu satu kaedah perubatan yang menghampiri dan mementingkan titik keharmonian dan tertib dalam kaedah perawatannya.
Bersambung...


Tiada ulasan:
Catat Ulasan